| |
3 Mei 2009, 11.18 pm
Panggilan
ustaz bagi diriku bukanlah
sesuatu yang baru. Seingat aku
sejak aku mengajar di kelas KAFA
Masjid Bulat, PJ lagi title
ustaz memang dah menjadi perkara
biasa. Selesai di sana, aku
berada di institusi zakat pula.
Dan sekali lagi ulangan cerita
lama berulang. Title itu melekat
lagi. Mungkin juga kerna
perwatakan aku yang agak
keustazan. Nak buat macam mana?
Tidak penah dipinta. Tidak pula
ditegah.
Sejujurnya, aku tidaklah rasa
seselesa mana dengan gelaran itu.
Aku lebih berkenan memperkenal
diri dengan nama sendiri. Tanpa
title ustaz di depan. Pada
sesiapapun, itulah cara aku.
Mungkin kerna aku kenal siapa
aku. Sebagaimana aku kurang
selesa dengan panggilan bos yang
sering diguna kawan-kawan di
tempat kerja, title ustaz juga
kekadang menyesakkan. Maklumlah,
title ustaz itu ada kelasnya
yang tersendiri. Hampir menyamai
'orang-orang Tuhan'.
Mana mungkin para ustaz bisa
meminati muzik retro dendangan
Elvis Presley dan Frank Sinatra.
Tak masuk dek akal bila cuba
diserasikan karektor seorang
ustaz sebagai peminat setia siri
TV American Chopper. Dan
bertambah berjerebu pandangan
bila nak dijodohkan lagu-lagu
arwah R Azmi dengan ketinggian
ilmu dan amal seorang bergelar
ustaz.
Hish...Janggal benar gambaran
itu bila aku cuba pentaskan di
dalam kepala. Langsung tak kena
jalan ceritanya. Skripnya
mungkin bagus tapi, pilihan
pelakonnya tak kena. Amat
membingungkan.
Ada beberapa situasi yang cukup
untuk membuatkan aku resah bila
dipanggil ustaz.
1. Tatkala bermuamalah
dikeliling para lepasan ilmu
agama Tuhan yang sememangnya
hebat-hebat belaka. Kerdil benar
rasa diri. Hampir rasa berdosa
rasanya untuk mengiyakan
panggilan ustaz yang diterima
dari mereka. Siapalah aku? Siapa
pula mereka?
2. Diperkenalkan sebagai ustaz.
Terutamanya di majlis-majlis
rasmi. Tak tertanggung beban
yang datang secara pakej dengan
gelaran itu.
Itulah antara sebabnya mengapa
aku sendiri cukup amat
berhati-hati bila mahu
menghadiahkan gelaran ustaz
kepada seseorang. Aku kenal
beberapa orang yang cukup selesa
memakai gelaran itu walaupun
ilmunya tak sampai sejengkal
mana. Belum lagi dihitung
kehanyiran akhlaq dan sakhsiah
diri.
Pernah seorang kawan yang
menyintai gelaran ustaznya
bertanya kepadaku.
"Kenapa kau tak pernah nak
jemput aku bagi kuliah dekat
surau rumah kau?"
Jawapan aku mudah.
"Kalau aku tak 'KENAL' kau, aku
mungkin akan jemput kau datang
beri kuliah di surau rumah aku."
Berubah mukanya. Langsung
berpaling dari depan aku.
Mengerjakan benda lain yang
entah apa di belakangnya. Ya,
dia memang terasa. Tapi tak
apalah. Biar dia terasa. Bukan
selalupun.
Dan kini, dapat pula aku
saksikan betapa bangganya
sekelompok manusia dari
institusi ini yang amat jauh
dari ruh agama Tuhan mula
berdiri di atas mimbar.
Menyampaikan khutbah
berdekah-dekah. Disusuli pula
menjadi imam yang bermakmumkan
entah berapa ramai para ilmuan
tulen di belakangnya. MashaAllah.....Tegar
dan berani amat mereka. Tak akan
aku luahkan rasa resah ini andai
aku tidak 'KENAL' mereka.
Aku sendiri kerap dipelawa
menyampaikan khutbah di masjid
sekitar Gombak. Dan pelawaan
mereka aku yakini hasil dari
title ustaz yang tak pernah aku
minta. Walaupun berpidato
bukanlah asing bagiku, namun
untuk berkhutbah, lain ceritanya.
Seingat aku, kali terakhir aku
menyampaikan khutbah adalah di
masjid Mujahidin, Damansara
Utama. Dan antara makmumnya
adalah Prof.Dr Mahfodz Mohd dari
UM. Pengalaman itu aku jadikan
sempadan nyata dan peringatan
bahwa urusan agama tiada kena
mengena dengan soal boleh atau
tidak. Faktor yang perlu
dijadikan sandaran adalah sama
ada kita LAYAK atau tidak. Dan
kelayakan itu perlu saja
didasarkan kepada
pengiktirafanNYA semata.
Bila seorang insan mula memikul
gelaran ustaz, maka sedar atau
tidak dia telah seakan terpasung
dengan sendirinya. Dia tidak
lagi bebas berbuat apa yang
biasa dia buat sebelumnya.
Perkataannya, perbuatannya hatta
iktiqadnya sekalipun harus amat
cermat dan tertib agar tidak
melangkaui had-hadNYA. Dan yang
lebih penting, dia perlu
senantiasa amanah dengan ilmu.
Tersilap langkah, bakal
terburailah perut tatkala
dikumpulkan manusia di hari
perhitungan nanti. Lantas
ditanya orang, mengapa kau
berkeadaan begitu? Maka dijawap
dengan penuh kehinaan bahwa
segala seruannya hanya untuk
orang bukan untuk dirinya.
Terhinalah dia sehinanya.
Tetapi, apa boleh buat kerna
kekadang title ustaz itu juga
bisa menjanjikan keuntungan
dunia yang bagi orang yang
mencarinya amat lumayan. Kalau
Nik Abduh (anak tokguru) memee
celupkan sebahagian ulama,
mungkin sesuai juga untuk aku
memee celupkan ustaz-ustaz dari
species ini.
Bagi aku, jika gelaran ustaz itu
sudah aku berikan, maka batang
tubuh dan ilmu orang itu sudah
hampir pasti akan aku muliakan.
Kerana bagiku, hanya yang layak
sahaja bisa memakai persalinan
semulia itu.
Bagiku, biarlah aku tetap terus
berada di 'liga' ku sendiri. Tak
perlu dirunsing. Tak perlu
diambil pusing.
|
|