| |
21 Mei 2009, 10.43 pm
31
Mei 1999M bersamaan 16 Safar
1420H, detik indah yang tiada
akan pernah sirna dari ingatan.
Pada tarikh itulah aku dan
isteri diijabkabulkan.
Berwalikan abang kepada isteri,
kami dinikahkan di surau Kampung
Jawa, Segamat, Johor Darul
Takzim.
"Aku nikahkan akan dikau,
Muhammad Rizal bin Shah Harudin
dengan Faridah binti Saruji
dengan mas kahwinnya RM 22.50
tunai."
Tanganku disentap dan aku
membalas...
"Aku terima nikahnya Faridah
binti Saruji dengan mas
kahwinnya RM 22.50 tunai."
Seusai majlis akad, lafaz taklid
aku bacakan di hadapan isteri
disaksikan, ahli keluarga, abang
dan kakak ipar serta sanak
saudara yang turut hadir. Lega
benar dalam hati sebab
disekolahkan di sekolah agama
oleh kedua ayah dan mak dulu.
Manakan tidak, lafaz taklid yang
dihulur hanya datang dalam satu
versi sahaja. Versi tulisan jawi.
Majlis kenduri dikedua-dua belah
pihak dibuat ala kadar.
Maklumlah, situasi ekonomi aku
masa tu bukannya kukuh mana.
Jadinya, mana-mana yang bersifat
adat istiadat aku buat setakat
yang mampu. Lauk pauk tidaklah
sehebat majlis kenduri
orang-orang sekarang. Buat
secara gotong-royong dibantu
sanak saudara yang datang dari
kampung dan jiran tetangga.
Tapi aku jadi sedikit kalut
dihujung-hujung majlis sebab
lauk-pauk tak cukup. Memang aku
langsung tak jangka seramai itu
tetamu yang hadir. Anggarannya
setakat dalam 300-400 orang je.
Yang datangnya hampir 500 orang.
Majoritinya kenalan mak aku.
Maklumlah, mak aku tu business
woman. So, ramailah
kawan-kawannya yang datang.
Sampai terpaksa order lauk dari
kedailah. Nasib baik cukup.
Alahai.....
Sedikit keistimewaan yang cuba
aku bawa ialah mengadakan
ceramah tajuk perkahwinan di
surau rumah orangtua aku. Belum
pernah lagi dalam sejarah hidup
aku di situ ada orang yang buat
ceramah sempena majlis kenduri.
Aku rasa cukup teruja awalnya
bila hasrat hati untuk
mengundang mantan Mufti
Selangor, Allahyarham Dato'
Ishak Hj.Baharom diterima.
Manakan tidak, pihak suraupun
belum pernah berjaya mendapatkan
beliau.
Namun, lebih kurang 4 hari
sebelum tarikh ceramah,
panggilan telefon dari
Allahyarham aku terima. Beliau
memohon maaf sangat-sangat sebab
terpaksa menguzurkan diri kerana
terpaksa menghadiri urusan
penting lain. Aduhai....Kecewa
tu, memanglah kecewa. Tapi, aku
terima jugalah hakikat yang ada.
Nak buat macamana. Belum ada
rezeki agaknya.
Syukurnya, aku berjaya dapatkan
Pak Yazid (Ustaz Yazid Jaafar)
sebagai ganti. Dan memang Pak
Yazid cukup berpengalaman dengan
hal-hal rumahtangga ni. Banyak
tips-tips yang dicurahkan. Tak
kering gusi jemaah surau yang
hadir dengan gurauan dan
sindirannya. Memang best.
Di awal perkahwinan, baru aku
tahu betapa beza antara hidup
solo dengan duet. Bagai langit
dengan bumi. Cabarannya bukan
alang-kepalang. Ditambah pula
dengan umur aku yang baru
mencecah 23 tahun. Kalau tak
kena gaya, karam ditengah
pelayaran. Namun, hasil
kesabaran dan sekelumit dua ilmu
agama yang pernah ditimba, kami
berjaya atasi halangan yang
mendatang. Bersama. Berdua.
Seingat aku, proses untuk
mengenali hati budi lantas
menerima pasangan seadanya
adalah tempoh yang paling
menduga. Berselisih faham
menjadi perkara biasa. Maklumlah,
sebelum ini hanya sekadar
memahami apa yang dizahirkan.
Bila dah hidup berdua, jutaan
lagi perihal yang perlu difahami
rupanya. Hati, rasa dan jiwa
nurani diperhalusi. Dicari titik
temunya. Dijinak rasa inginnya.
Pendek kata, istilah pengorbanan
cukup dihayati sebetulnya. Walau
kekadang rasa amarah seakan
mengusai diri dek tiada
persefahaman, namun akhirnya
bila ditimbang baik buruknya,
jiwa jadi cepat sejuk. Hati jadi
tidak lekas merajuk.
Dan kini, setelah mencecah tahun
ke-10 di alam rumahtangga,
banyak perkara yang dulunya
merunsingkan sudah bisa didakap
penuh tenang. Dengan kelahiran
Mirza, Irdina dan Marha, hidup
kami tiada pernah berakhir
cerianya. Usaha tetap digalas
buat menyinari cinta. Biar sinar
yang terang tidak terlindung dek
gerhana mendatang. Mudah-mudahan,
kami kekal dengan iringan
rahmatNYA.
|
|