MENATANG MINYAK BUSUK

 
 


17 Julai 2009, 10.47 am

Sepanjang aku memangku jawatan KOD/KOW, inilah kali pertama aku merasakan betapa diri dan hati seorang manusia boleh menjadi sebusuk bangkai.

Seingat aku, orang itu telah aku tatang sepenuh hati. Tingkahlakunya yang menyusahkan. Perangainya yang merosakkan. Otak fikirannya yang menyesatkan. Ditambah dengan rasa bangga diri hingga lupa siapa dan di mana kedudukannya.

Itu semua aku telan. Aku perelok dengan sepenuh daya. Aku beri peluang untuk berubah seluasnya. Walaupun ada yang mendesak agar di bawa saja kebobrokan orang itu ke pengetahuan orang atas, namun aku selaku orang yang telah diamanahkan untuk menguruskan daerah ini melakukan yang sebaliknya.

Apa jua amaran yang aku keluarkan hanya habis setakat daerah sahaja. Kenapa? Kerana aku tidak mahu menjejaskan periuk nasi orang lain. Tak tergamak hati aku nak melihat tindakan yang aku ambil pada orang itu merosakkan rekod peribadinya. Aku tak mahu itu semua menyebabkan kenaikan gaji atau apa sahaja manfaat yang dia mungkin boleh terima dari syarikat tersekat. Aku bukan jenis itu.

Selama ini juga, begitu banyak sikap toleransi aku tunjukkan pada perempuan itu. Walau sehingga ke peringkat mencabar autoriti aku sekalipun, sikap aku tetap tidak berubah. Aku cuba telan. Aku rasionalkan perlakuannya dengan memikirkan sumbangan positifnya yang ada. Dengan itu, rasa marah dapat aku tenangkan.

Rungutan ramai tentang sikap dan feel perempuan itu memang telah begitu banyak aku terima. Ingat lagi bagaimana statement seorang kawan lama yang pernah bertugas di kaunter perempuan itu. "Jai, kau ada salotep tak? Aku nak gam mulut budak sorang ni". Bila aku tanya kenapa sampai begitu sekali, jawapnya sama dengan orang lain yang turut biasa mengadu. "Dia ni tak sedar dirila. Ingat dia tu pegawai ke? Aku yang eksekutif nipun nak disalahkannya".

Itu perkara biasa. Aku hanya boleh gelakkan saja. Kenapa aku tak bertindak? Sebabnya tetap sama. Harapan aku untuk perempuan itu berubah tetap ada. Walau bagaimana peningpun kepala dibuatnya, aku rasa sebagai penyelia, aku tidak harus berputus asa. Teguran tetap aku berikan. Cadangan penambahbaikan tetap aku curahkan. Dan kadang-kadang, bila sudah agak melampau, amaran tetap aku keluarkan. Semuanya demi melihat kemaslahatan operasi agihan berjalan lancar.

Tapi sekarang, bila dihadapkan dengan realiti perlakuan perempuan itu, aku mula merenung kembali. Di mana silapnya? Konklusi yang aku jumpa lebih menunjuk kepada kelemahan diri aku sendiri. Aku terlalu berharap perempuan itu akan berubah kepada yang lebih baik. Tanpa aku sedar bahwa dia tidak pernah mahu berubah rupanya. Dia bangga dengan sikapnya. Dan aku, selaku penyelia gagal melihat hakikat itu. Dan kegagalan itu, menatijahkan kesan yang lebih buruk.

Sekarang, dari apa yang aku dengar, perempuan itu telah berjaya menggambar aku sebagai seorang ketua yang kejam. Bersikap pilih kasih. Tidak adil. Dan aku tidak menyalahkan orang-orang di luar sana jika mengiyakan cerita yang didengar dari perempuan itu. Kerana mereka semua tidak berada di daerah ini. Mereka tidak kenal siapa perempuan itu. Mereka tidak merasa betapa seksanya berada di kaunter yang sama dengan perempuan itu.

Dan aku? Apa yang harus aku buat? Perlukan aku berdiri mempertahankan diri atau menerimanya sambil menunggu hikmah di sebalik semua ini.

Aku tahu, aku boleh saja menceritakan segala keburukan perempuan itu pada sesiapa saja. Boleh saja kalau aku mahu mendedahkan siapa perempuan itu sebenar-benarnya. Tak perlu aku, kawan-kawan di daerah inipun sudah lebih dari cukup untuk membuktikan tentang kehodohan perilaku perempuan itu. Namun, hati kecil aku mengatakan jangan. Biar perempuan itu saja yang melakukan kerja busuknya. Jangan aku juga menjadi seburuk dia.

Aku sudah mula menerima hakikat bahwa selama ini aku hanya menatang minyak yang busuk. Teringat kata-kata seorang kawan. La Tahzan wa khauf.

Allahumma yassir, wala tu'assir......amin.

 
 


   
 


hit laman RIZALSHAH.T35
free hit counter html code

PENAFIAN : semua maklumat, pandangan & maklum balas di dalam laman ini adalah pandangan peribadi semata-mata.
 

stats

Hosted by T35 Free Web Hosting. Indian Bridal Makeup - Casino News - Porsche Los Angeles - Drug Rehab - Online Colleges - Hosting - Gucci Sneakers - SEO Services