Berbagai
pihak meminta saya
menyatakan pendirian dalam
isu agama anak yang
ditetapkan oleh Kabinet
Malaysia yang baru. Di sini
saya sebut, ada beberapa
masalah dalam isu ini yang
mesti difahami dan dinilai,
juga pendapat saya dalam hal
ini;
1. Islam menganggap setiap
anak lahir dalam keadaan
fitrah iaitu dalam keadaan
yang bersih dari pencemaran
pemikiran dan akidah. Tiada
nilaian dosa atau pahala
buat mereka. Jika mereka
mati sebelum mencapai umur
mukallaf, mereka mati dalam
keadaan bersih sekalipun
ibubapa mereka tidak
menganut agama Islam.
2. Ibubapa merupakan faktor
utama dalam mempengaruhi
fitrah anak yang bersih
tersebut. Anak kecil
biasanya akan terikut dengan
agama ibubapanya. Justeru
itu Nabi s.a.w bersabda:
“Setiap anak dilahirkan atas
‘fitrah’, maka kedua
ibubapanya yang menyebabkan
ia menjadi yahudi, atau
nasrani atau majusi (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
3. Para sarjana fekah ramai
yang berpendapat bahkan ada
yang mendakwa telah ijmak (sepakat),
bahawa pengislaman bapa
membawa kepada pengislaman
anak yang masih kecil. Namun
mereka berbeza pendapat
tentang pengislaman ibu;
apakah diikuti dengan
pengislaman anak atau tidak.
Di kalangan sarjana fekah
ada yang berpendapat agama
anak berdasarkan agama yang
paling mulia dan sudah pasti
mereka akan memutuskan jika
bertembung antara Islam dan
selainnya; maka agamanya
dianggap sebagai Islam. Apa
yang penting tiada nas Islam
yang jelas dalam memutuskan
hal ini. Ia lebih merujuk
kepada soal ijtihad. Namun
asas yang penting yang mesti
ditegakkan adalah keadilan,
di samping memelihara
kemuliaan Islam itu sendiri.
4. Kepentingan membincangkan
tentang status agama anak
ini adalah untuk pengurusan
jenazah, harta pusaka dan
beberapa perkara yang lain.
Bukan untuk menentu
kedudukannya di syurga atau
neraka seperti yang difahami
oleh sesetengah pihak. Ini
disebabkan anak kecil bebas
dari nilaian dosa dan pahala
sehingga dia menjadi
mukallaf.
5. Saya berpendapat; tiada
kemunasabahan yang cukup
untuk Pihak Kabinet
menentukan agama anak secara
keputusan yang sedemikian.
Lebih baik urusan ini
diserahkan kepada mahkamah –sekalipun
mahkamah sivil- untuk
memutuskannya. Mahkamah
mesti menentukan hak jagaan
kepada pihak yang paling
baik untuk kemaslahatan anak.
Di sini datangnya peranan
badan-badan Islam atau pihak
pengurusan zakat umat Islam
untuk memastikan kekuatan
kewangan dan sebagainya
dalam membantu ‘saudara baru’
melayakkan mereka mendapat
hak jagaan. Jika badan-badan
ini masih tidur atau sekadar
sibuk dengan lawatan dan
mensyuarat di hotel-hotel
sahaja, jadilah apa yang
terjadi sekarang.
6. Keputusan
kabinet tersebut boleh
merampas hak salah seorang
ibubapa yang menukar
agamanya dan bersifat tidak
adil. Jika sudut kebendaan
itu yang dinilai, kelayakan
menjaga seseorang anak itu
berbeza antara pasangan.
Tidak mungkin dibuat
keputusan yang tetap kerana
setiap pasangan mempunyai
keadaan yang berbeza. Biar
mahkamah menentukannya
secara adil. Sesiapa yang
berhak menjaga anak, maka
tidak menjadi masalah jika
berlaku perselisahan agama
anak berdasarkan pihak yang
menjaganya atau jika anak
itu sudah pandai menilai,
dia mungkin boleh membuat
pengakuan agama pilihannya.
7. Sepatutnya, isu agama
anak tidak ditimbulkan
melainkan ketika
perselisihan antara pasangan
sahaja. Anak sepatutnya
diberi peluang untuk
mengenai Islam setelah ibu
atau bapa menganut Islam.
Peruntukan zakat muallaf
secara besar perlu diberikan
untuk ini. Zakat bukan
lawatan hujung tahun dan
penukaran kereta baru para
pegawai. Malanglah keputusan
kabinet ini boleh menghalang
dakwah seorang bapa atau ibu
kepada anak berkenaan.
8. Ini kerana, anak itu
bersih fitrahnya. Ibubapa
mempunyai peranan
mempengaruhinya. Itu adalah
hak mereka untuk
mempengaruhi anak mereka.
Jika salah seorang
ibubapanya menganut Islam
sementara seorang lagi tidak,
anak berkenaan mungkin akan
dipengaruhi oleh salah
seorang daripada mereka.
Sekalipun jika mereka
berpisah, peluang yang adil
untuk anak bertemu dengan
bapa atau ibunya hendaklah
diberikan. Selepas itu
terpulang kepada anak
berkenaan dalam menentukan
agamanya.
9. Saya berpendapat;
keputusan kabinet lebih
dipengaruhi oleh
perkembangan politik
kepartian dan undi tanpa
melihat kepada sudut
keadilan untuk semua. Ia
adalah penindasan terhadap
saudara baru dan boleh
menakutkan mereka yang ingin
menganut Islam. Dalam
kegilaan mendapatkan undi,
jangan digadai masa depan
umat Islam dan keharmonian
agama dalam negara.
10. Sekali lagi saya tegaskan,
golongan ‘saudara baru’
dalam negara ini tidak
mendapat layanan yang
sepatutnya dan pihak yang
bertanggungjawab terutama
yang menguruskan zakat dan
badan-badan agama kerajaan
pusat dan negeri tidak
menyibukkan diri dalam
menjaga kebajikan mereka dan
usaha dakwah dalam
memahamkan rakyat Malaysia
tentang Islam yang sebenar.
Zakat tidak diuruskan dengan
sepatutnya dan dana-dana
untuk kemajuan Islam tidak
dialirkan dengan cara yang
wajar dalam menjaga
kepentingan dakwah
Islamiyyah.
11. Saya dengan ini meminta
pihak Kabinet menilai balik
keputusan tersebut dan juga
pihak-pihak agama dalam
negara kita memainkan
peranan yang sepatutnya
dalam memberikan keadilan
kepada ‘saudara baru’.
12. Jika Fatwa Kebangsaan
JAKIM boleh membuat sidang
fatwa segera tentang ‘dakwat
pilihanraya’ mengapa tidak
Pengerusi Fatwa Kebangsaan
tidak memberikan pandangan
para mufti dengan segera dan
jelas dalam hal ini.
Malanglah jika isu penkid
dan yoga digembar-gembur,
tetapi isu keadilan hak
saudara baru
dilewat-lewatkan.
13. Saya ingin berpesan
kepada diri sendiri, juga
mengambil kesempatan
berpesan kepada mereka yang
berjawatan berkaitan agama
agar jangan memikirkan
tentang gaji, sambungan
kontrak, gelaran menjelang
harijadi sultan, elaun,
rombongan dan urusan dunia
yang lain melebihi
kepentingan dan masa depan
umat.
petikan dari : drmaza.com